Author: Unknown
•03:32
     Dalam tempoh sepanjang empat minggu atau kurang daripada itu berlaku empat peristiwa besar terhadap orang-orang Musyrikin, iaitu: 
  •  Keislaman Hamzah
  •  Keislaman Umar 
  •  Penolakan Nabi Muhammad SAW untuk tawar menawar dengan mereka 
  •  Kesepakatan Bani al-Muttalib dan Bani Hashim termasuk yang Muslim dan yang kafir untuk melindungi Nabi Muhammad SAW dan mempertahankannya 
     Orang-orang musyrikin menjadi kebingungan dan sememangya memang mereka bingung. Hal ini kerana mereka tahu sekiranya mereka bertindak membunuh Nabi Muhammad SAW, maka lembah Mekah akan terjadinya pertumpahan darah, bahkan mungkin boleh menyebabkan diri mereka dibinasakan. Sesungguhnya mereka benar-benar mengetahui akan hal tersebut. Sehubungan dengan itu, mereka bertindak melakukan kezaliman dalam bentuk yang lain, bukannya dengan cara membunuh. Namun begitu, tindakan ini merupakan tindakan yang lebih keras lagi jika dibandingkan dengan apa yang telah mereka lakukan. 


Perjanjian Zalim Dan Permusuhan 

     Di perkampungan Bani Kinanah di lembah al-Muhassab mereka berkumpul, lalu mengikat kerjasama untuk menghadapi Bani Hashim dan Bani al-Muttalib. Caranya adalah dengan memulaukan kedua-dua bani ini iaitu tidak boleh berkahwin dengan mereka, tidak boleh berurus niaga, tidak boleh duduk semeja dan bergaul serta tidak boleh menziarahi rumah mereka. Selain itu, mereka juga tidak boleh ditegur sapa sehinggalah mereka sanggup menyerahkan Rasulullah SAW untuk dibunuh. Mereka menulis dalam satu lembaran yang mengandungi beberapa butir perjanjian dan kesefahaman iaitu mereka tidak akan menerima perdamaian dengan Bani Hashim selama-lamanya. Mereka tidak akan menaruh sebarang belas kasihan sehinggalah Nabi Muhammad SAW diserahkan untuk dibunuh. Ibn al-Qayyim berkata: Dikatakan, perjanjian itu ditulis oleh Mansur bin ‘Ikrimah bin ‘Amir bin Hashim. Pada masa yang sama, ada yang mengatakan bahawa yang menulisnya ialah Nadr bin al-Harith. Namun, menurut fakta yang sebetulnya ianya telah ditulis oleh Baghid bin Amir bin Hashim, yang mana Rasulullah telah mendoakan kecelakaannya, lalu tangannya menjadi lumpuh. 

     Maka, sempurnalah sudah perjanjian tersebut. Setelah itu, ia digantungkan dalam Ka’abah. Bani Hashim dan Bani al-Muttalib sama ada yang mukmin atau kafir – kecuali Abu Lahab – menyisihkan diri dan berkurung di kampong Abu Talib, iaitu pada suatu malam bulan Muharram tahun ketujuh kenabian. 


Tiga Tahun Berada Di Kampung Abu Talib 

     Pengepungan dijalankan dengan begitu hebat sekali. Segala bekalan makanan dan bahan-bahan keperluan disekat. Orang-orang Musyrikin tidak membiarkan ada makanan yang masuk ke Mekah atau sebarang dagangan melainkan mereka segera membelinya, sehingga kehidupan di kampung Abu Talib menjadi sukar. Ada yang terpaksa makan daun-daun kayu dan kulit-kulit binatang. Di sebalik kampung tersebut kedengaran suara-suara wanita dan kanak-kanak merintih kelaparan. Tidak ada bekalan yang sampai kepada mereka melainkan secara sulit. Mereka tidak dapat keluar dari kampung tersebut untuk membeli barang keperluan melainkan pada bulan-bulan Haram. Mereka membeli barang yang dibawa oleh rombongan dagang ke Mekah dari luar Mekah. Akan tetapi, penduduk Mekah menambah harga barang tersebut sehingga mereka tidak berupaya untuk membelinya. 

     Hakim bin Hizam ada kalanya membawa gandum kepada ibu saudaranya, Khadijah RA. Ada sekali ianya disekat oleh Abu Jahal lalu Abu Jahal cuba menghalangnya. Tetapi, Abu al-Bakhtariy telah masuk campur dan menolongnya untuk membawa gandum tersebut kepada ibu saudaranya. 

     Abu Talib pula terlalu bimbang terhadap keselamatan Rasulullah SAW dan orang-orang Islam keluar bertemu manusia serta menyeru mereka kepada agama Islam. Sebelum ini telah pun diceritakan perihal kelakuan Abu Jahal yang sering mengikut Nabi Muhammad SAW untuk mendustakan ajaran baginda. 


Pembatalan Perjanjian 

     Tiga tahun berlalu, namun keadaan tetap seperti itu juga, walau macam manapun pada bulan Muharam tahun kesepuluh kebangkitan Rasulullah SAW berlaku perlanggaran dan pencerobohan ke atas piagam perjanjian musyrikin. Hal ini disebabkan dalam kalangan Quraisy sendiri, ada yang bersetuju dan ada juga yang tidak bersetuju dengan piagam itu. Malah, ada yang berusaha untuk mencerobohi dan melanggarar piagam berkenaan. 

     Orang pertama yang berusaha ke arah itu ialah Hisyam bin Amru dari qabilah Banu Amir bin Luai. Beliau sering berhubung secara rahsia di malam hari dengan Bani Hashim dengan membawa makanan. Selalunya beliau menemui Zuhair bin Abi Umaiyyah al-Makhzumi, sedang ibunya adalah Atikah binti Abdul al-Muttalib. Pada suatu hari, beliau telah bercakap dengan Zuhair bin Abi Umaiyah katanya: “Wahai Zuhair! Kamu boleh rela hati untuk memakan dan meminum sedang bapa-bapa saudara kamu, seperti kau tahulah. Jawab Zuhair: “Baiklah, apa aku boleh nuat, aku seorang sahaja, demi Allah kalau ada orang lain bersamaku, dah lama ku langgar piagam itu. Kata Hisham: “Aku ada orang kedua? Tanya Zuhair “Siapa orangnya? Jawab Hisham: “Aku! Kata Zuhair: “Kita perlu orang ketiga”. 

     Dengan itu, beliau terus pergi menemui al-Mut’am bin ‘Adi lalu beliau menyebut kepada al-Mut’am mengenai anak cucu Bani Hashim dan Bani al-Muttalib. Kedua-duanya merupakan keturunan Abdul Manaf, dan beliau mengecamnya di atas persetujuannya dengan Quraisy dan dengan piagam zalim lagi menindas itu. Kata al-Mut’am: “Baiklah, apa aku nak buat, kan aku seorang diri sahaja. Kata Hashim: “Aku dah ketemu dengan orang yang kedua. Kata Mut’am: “Siapa?” Jawab Hashim: “Aku sendiri”. Kata al-Mut’am: “ Kita perlu orang ketiga. Kata Hashim: “Pun sudah aku ketemuinya”. Kata al-Mut’am: “Siapa orangya?” Jawab Hashim: “Zuhair bin Abi Umaiyah”. Kata Mut’am: “Kita perlukan orang keempat”. Kali ini Hisham pergi menenui Abi al-Bukhturi bin Hisham, beliau menyuarakan pendapatnya seperti yang dikemukakan kepada al-Mut’am. Kata Mut’am: “Ada tak orang lain yang boleh membantu usaha kita ini?” Jawab Hashim: “Tanya al-Bukhturi; Siapa-siapa, mereka itu, jawab Hisham: “Zuhair bin Abi Umaiyah, al-Mut’am bin Adi dan aku tetap bersama kamu, kata al-Bukhturi: “Aku orang yang kelima”. 

     Hisham berkejar ke rumah Zama’ah bin al-Aswad bin al-Muttalib bin Asad. Beliau mengemukakan cadangannya itu kepada Zum’ah: Ada tak orang lain yang meyetujui perkara ini? Kata Hisyam: “Memanglah ada orangnya, kemudian belaiu membilang dengan dengan menyebut nama-nama mereka. Selepas itu, mereka bermesyuarat pula di al-Hujun di mana tempat mereka berjanji untuk memecah dan melanggar piagam yang zalim itu. Kata Zuhair: “Biiar aku orang pertama yang menyuarakan perkara ini”. 

     Sebaik sahaja Subuh menjelang, mereka pun segera bergerak ke tempat pertemuan. Zuhayr datang dengan memakai sepasang pakaian yang indah lalu bertawaf keliling Ka’bah sebanyak tujuh kali. Kemudian dia tampil kepada orang ramai, lantas berkata: “Hai penduduk Mekah, adakah kita sanggup makan dan memakai pakaian sedangkan Bani Hashim sedang menghadapi kebinasaan, mereka tidak dilayan untuk berjual beli? DemI Allah aku tidak berdiam diri melainkan setelah dikoyak perjanjian yang zalim ini”. 

     Abu Jahal berkata (ketika itu dia berada di salah satu sudut masjid): “Engkau bohong, demi Allah lembaran itu tidak akan dikoyak”. Kemudian Zam’ah bin al-Aswad pula berkata: “Demi Allah engkau lebih pembohong lagi. Kami tidak pernah merestui penulisannya semasa ia ditulis”. Abu al-Bakhtariy pula mencelah: “Zam’ah benar, kami tidak rela dengan apa yang ditulis di dalamnya dan kami tidak memperakuinya”. 

     Al-Mut’im bin ‘Adiy pula berkata: “Kamu berdua benar, an bohonglah orang yang berkata lain daripadaitu. Kami berlepas diri kepada Allah daripada lembaran ini dan apa yang ditulis di dalamnya”. 

     Kemudian Hisham bin ‘Amru juga berkata seumpama itu. Lalu Abu Jahal berkata: “Ini adalah perkara yang telah dirancang malam tadi, kamu berbincang tentangnya bukan di sini”. 

     Ketika itu Abu Talib sedang duduk di satu sudut masjid. Dia datang kepada mereka kerana Allah telah memberitahu Rasul-Nya tentang hal lembaran perjanjian tersebut, di mana telah mengutuskan anai-anai yang memakan semua butir perjanjian yang ditulis itu yang mengandungi hal-hal pemulauan dan kezaliman melainkan tulisan nama Allah sahaja. Nabi SAW memberitahu hal tersebut kepada Abu Talib, lalu Abu Talib keluar kepada orang-orang Quraish dan menceritakan kepada mereka bahawa anak saudaranya telah memberitahu begitu dan begini. “Jika dia berbohong, maka kami akan biarkan kamu bertindak ke atasnya , tetapi jika dia benar maka kamu hendaklah hentikan pemulauan dan kezaliman terhadap kami”. Lalu mereka pun berkata: “Sekarang barulah adil”. 

     Setelah selesai percakapan antara mereka dan Abu Jahal, al-Mut’im pun bangun pergi ke tempat lembaran perjanjian itu untuk mengoyaknya. Tiba-tina didapati anai-anai telah memakannya melainkan kalimah “Bismikallahumma” (Dengan namaMu Ya Allah). Setiap tulisan yang merupakan nama Allah tidak dimakannya. 

     Kemudian, perjanjian itu pun dibatalkan. Rasulullah SAW keluar bersama pengikutnya dari kampung tersebut. Orang0-orang Musyrikin telah melihat satu tanda yang besar tentang kebenaran kenabiannya. Sayangnya, mereka itu tidak lebih seperti yang diberitahu oleh Allah: “Dan kalau mereka (kaum Musyrik Makkah) melihat sesuatu mukjizat, mereka berpaling ingkar sambil berkata: “(Ini ialah) sihir yang terus menerus berlaku”- (Maksud al-Quran surah al-Qamar:2)-‘ Mereka berpaling daripada mengambil iktibar tentang tanda tersebut dan mereka menambahkan lagi kekufuran di atas kekufuran yang sedia ada.
|
This entry was posted on 03:32 and is filed under . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0 feed. You can leave a response, or trackback from your own site.

0 comments: