Author: Unknown
•03:42
     Berhubung dengan Perjanjian Hudaibiah, Ibnu Hisyam melaporkan daripada Ibnu Ishaq daripada Al-Zuhri, “ Belum berlaku futuh dalam Islam sebelum Hudaibiah ini Futuh yang lebih besar daripadanya”. 

     Pada akhir tahun keenam Hijrah, telah berlaku satu peristiwa besar kepada umat Islam iaitu peristiwa Perjanjian Hudaibiah. Sesungguhnya peristiwa ini merupakan kunci dan permulaan kepada pembukaan Mekah dan kemenangan umat Islam di Semenanjung Arab. Ianya dimulai dengan pengakuan terhadap hak orang Islam untuk menunaikan ibadah mereka di Masjidil Haram yang sebelum itu orang-orang Musyrikin menghalang mereka berbuat demikian sejak enam tahun lamanya. 
            
     Rasulullah telah bermimpi semasa Baginda berada di Madinah. Dalam mimpinya, Baginda melihat dia dapat masuk bersama para sahabat ke Masjidil Haram dan mengambil kunci Ka’bah, lalu bertawaf dan berumrah. Manakala, sebahagian mereka pula mencukur rambut dan sebahagian yang lain mengguntingnya. Lantas, mimpi tersebut diceritakan kepada para sahabat Baginda. Alangkah gembiranya mereka mendapat khabar tersebut dan mereka pun mengira akan dapat masuk ke Mekah pada tahun itu. Kemudiannya, pada bulan Zulkaedah, Muhammad membuat pengumuman kepada semua umat Islam bahawa baginda mahu mengerjakan umrah ke Mekah. Sesiapa yang mahu mengikuti baginda, bolehlah bersiap sedia. 


Ajakan Untuk Orang Islam 

     Namun begitu, hanya beberapa orang sahaja yang sedia mengikut Muhammad iaitu golongan Ansar dan Muhajirin serta beberapa orang dari suku lain secara peribadi telah menyertai Rasulullah untuk ke Mekah. Seramai 1 400 orang lelaki keluar dengan Muhammad bagi mengerjakan ibadah umrah. Mereka membawa binatang ternakan untuk korban, binatang yang tidak ditunggang dan tujuh puluh ekor unta. Baginda membersihkan pakaiannya dan menunggang untanya yang bernama al-Qaswa. Selain itu, Baginda juga telah melantik Ibn Ummi Makhtum untuk memangkunya di Madinah atau Numaylah al-Laythi. Baginda keluar dari Madinah pada hari Isnin tanggal 1 Zulkaedah tahun 6 Hijrah. Baginda turut membawa bersamanya isteri yang dikasihi, Ummu Salamah. Untuk ke sana, Baginda tidak membawa kelengkapan senjata kecuali senjata yang biasa yang biasa dibawa oleh orang yang bermusafir sahaja iaitu pedang-pedang yang dimasukkan ke dalam sarungnya. 

Orang Islam Bergerak ke Mekah 

     Bergeraklah Baginda menuju ke Mekah. Apabila sampai di Dzul Hulayfah, baginda memasang gelang dan penanda pada binatang-binatang korban, seraya berihram untuk umrah. Tujuannya adalah supaya manusia tidak memeranginya. Baginda mengutuskannya di hadapannya seorang perisik dari Bani Khuza’ah yang melaporkan tentang Quraish. Apabila baginda menghampiri ‘Usfan, datanglah perisiknya seraya berkata: “Semasa saya datang tadi Ka’ab bin Lu’ay telah mengumpulkan Ahabish (yang bersekutu di Bukit Habash) dengan perkumpulan yang ramai untuk memerangi kamu dan menghalang kamu daripada sampai ke Baitullah. 

     Nabi SAW meminta pandangan para sahabatnya, dengan katanya: “Apa pandanganmu kalaui kita tawan wanita dan anak pinak mereka yang bersekongkol membantu Quraish? Kalaupun mereka duduk tidak melawan bererti mereka duduk mengharapkan pembelaan (yakni apabila sekutu Ahabish menyedari kaum mereka diserang maka mereka akan meninggalkan Quraish dan kembali untuk menuntut bela ke atas kaum mereka), dan kalaupun mereka terlepas maka tinggallah Quraish yang bersendirian menyabung nyawanya. Atau adakah kamu berpendapat kita teruskan sahaja perjalanan ke Baitullah, dan kalau ada sesiapa yang menghalang kita, maka kita peranginya?” Abu Bakar menjawab: “Allah dan Rasu;-Nya yang lebih mengetahui, tetapi kita ini datang untuk berumrah, bukannya untuk berperang, justeru, kalau sesiapa yang menghalang kita untuk sampai ke Baitullah, maka kita akan memeranginya”. Kemudian Nabi SAW mengeluarkan arahan: “Ayuhlah berangkat”, lalu mereka pun meneruskan perjalanan. 

Percubaan Quraish Menghalang Orang Islam Sampai Ke Baitullah 

     Apabila orang-orang Quraisy mendengar berita keluarnya Nabi SAW, mereka pun bermesyuarat dan mengambil keputusan untuk menghalang orang-orang Islam daripada sampai ke Baitullah dengan apa jua cara sekalipun. Setelah Rasulullah SAW berpaling daripada menghadapi tentera Ahabish itu, seorang lelaki dari Bani Ka’ab membawa berita kepadanya bahawa orang Quraish sedang menantu di Dhi Tuwa dan dua ratus orang berkuda yang diketua oleh Khalid al-Walid sedang bersiap sedia di Kura al-Ghamimdi jalan utama untuk sampai ke Mekah. Khalid berusaha untuk menghalang orang-orang Islam lalu dia menghadapkan pahlawan-pahlawan berkudanya sehingga kedua-dua pasukan saling dapat melihat antara satu sama lain. Semasa umat Islam sedang menunaikan solat Zohor, rukuk dan sujud, maka Khalid melihat perlakuan iti lalu dia berkata: “Mereka sedang dalam keadaan alpa, kalau kita serang mereka nescaya kita pasti menang”. Kemudian dia pun membuat keputusan akan menyerang umat Islam apabila mereka bersembanhyang Asar nanti. Akan tetapi selepas itu Allah menurunkan wahyu-Nya mensyariatkan sembahyang Khawf, maka terlepaslah peluang Khalid untuk menyerang mereka dalam keadaan mereka tidak menyedarinya. 

Mengubah Arah Jalan Dan Usaha Mengelak Pertempuran Berdarah 

     Rasulullah SAW memilih jalan yang agak sukar di antara lorong-lorong di bukit. Baginda membawa mereka mengikut sebelah kanan di antara laluan al-Hims iaitu jalan yang menuju ke Thaniyyah al-Mirar yang menurun ke Hudaybiyah dari bahgian bawah Mekah. Baginda meninggalkan jalan utama yang menuju ke Tanah Haram melalui Tana’im. Dibiarkannya jalan itu berada di sebelah kiri. Apabila Khalid melihat tentera Islam menukar laluan, dia pun segera beredar untuk memberi amaran kepada orang-orang Quraish. 

     Rasulullah SAW meneruskan perjalannya sehingga apabila sampai ke Thaniyyah al-Mirar, untanya tiba-tiba menderum tidak mahu berjalan. Lalu orang ramai pun berkata: Hal, hal (arahan untuk unta yang enggan bergerak), tetapi unta itu tetap enggan bergerak. Mereka pun berkata: “Al-Qaswa enggan berjalan, al-Qaswa enggan berjalan”. Nabi SAW bersabda: “Bukannya al-Qaswa’ sengaja engan berjalan, itu bukan perangainya, tetapi ia tertahan sebagaimana tertahannya gajah yang menyerang Ka’bah”. Kemudian baginda berkata: “Demi diriku yang berada dalam kekuasaan-Nya, kalau mereka meminta kepadaku satu rancangan demi untuk membesarkan Tanah Haram ini nescaya aku sanggup menunaikannya”. Kemudian baginda mengerah al-Qaswa’ sehingga ia bangun. Kemudian baginda menukar arah perjalanan sehingga sampai di hujung al-Hudaybiyyah dekat sebuah genengan air yang sedikit lalu mereka pun berebut-rebut mendapatkan air tersebut. Sebentar sahaja air itu sudah kering. Maka mereka mengadu kepada Rasulullah SAW kehausan. Beginda mencabut sebilah anak panah dari sarungnya kemudian menyuruh mereka meletakkan anak panah itu ke tempat genangan air tadi. Demi Allah, air itu sentiasa mencukupi bagi mereka membasahkan tekak sehingga puas. 

Budayl Menjadi Orang Tengah Antara Rasulullah SAW dan Quraish 

     Setelah Rasulullah SAW merasa tenang, datanglah Budayl bin Waraqa’ al-Khuza’iy dengan sekumpulan orang Khuza’ah yang mendiami Tihamah adalah golongan yang biasa memberi nasihat kepada Rasulullah. Budayl berkata: “Tadi aku tinggalkan Ka’ab bin Lu’ay telah sampai ke beberapa mata air Hudaybiyyah membawa bersama mereka unta yang mempunyai susu dan unta-unta yang membawa anak-anaknya (untuk menunjukkan mereka benar-benar membawa kelengkapan yang diperlukan termasuk keperluan makanan untuk tujuan peperangan ini). Tujuan mereka adalah untuk memerangi dan menghalang kamu dari Baitullah. Rasulullah SAW menjawab: “Kami datang bukannya hendak berperang, tetapi untuk melakukan umrah. Orang Quraish itu telah teruk dan susah oleh peperangan. Kalau mereka sanggup aku rela memberikan tempoh tertentu kepada mereka dan mereka hendaklah biarkan urusanku dengan orang lain. Dan kalau mereka mahu, mereka boleh lakukan sebagaimana yang dilakukan oleh orang lain, kalau tidak bererti mereka hendak menunjukkan kekuatan. Kalau hanya perang yang mereka inginkan, maka demi diriku yang berada dalam kekuasaan-Nya, akanku perangi mereka demi urusanku ini sekalipun aku terkorban bersendirian atau sampai Allah melaksanakan ketetapan-Nya”. 

     Budayl berkata: “Akan aku sampaikan apa yang kamu katakan itu”. Kemudian dia pergi kepada orang Quraish itu lalu berkata: “ Aku datang kepadamu dari bertemu lelaki ini, dan aku telah mendengar kata-katanya. Kalau kamu mahu, aku ceritakan kepadamu”. Tetapi orang-orang bodoh Quraish berkata: ‘Kami tak perlu mendengar ceritamu tentangnya sedikitpun”. Sementara orang yang berfikiran dalam kalangan mereka berkata: “Ceritakan apa yang kamu dengar”. Katanya: “Aku mendengar dia menyebutkan begini da begini”. Kemudian orang Quraish mengutuskan Mikraz bin Hafs. Tatkala Rasulullah SAW melihat Mikraz, baginda berkata: “Ini orang yang suka berkhianat”. Setelah Mikraz sampai kepadanya dan bercakap dengannya, baginda menyampaikan sama seperti yang disampaikannya kepada Budayl dan teman-temannya. Kemudian dia kembali kepada orang Quraish dan memberitahu mereka. 

Uthman bin ‘Affan Menjadi Duta Bertemu Quraish 

     Tatkala itu Rasulullah bercadang untuk mengutuskan seorang duta untuk menegaskan kepada orang-orang Quraish pendirian dan tujuan kedatangannya. Dipanggilnya Umar bin al-Khattab untuk diutuskan kepada mereka, tetapi Umar menarik diri sambil berkata: “ Wahai Rasulullah, di Mekah tidak ada seorang pun dari Bani Ka’ab yang sanggup mempertahankan aku jika aku diganggu, maka utuslah Uthaman bin ‘Affan, kerana kaum kerabatnya ada di Mekah dan dia berupaya menyampaikan maksud tujuanmu”. Kemudian baginda memanggil Uthman dan mengutuskannya kepada orang-orang Quraish. Baginda berpesan: “Beritahu mereka, bahawa tujuan kita bukan mahu berperang, tetapi kita hanya mahu mengerjakan umrah dan ajaklah mereka kepada Islam”. Baginda menyuruhnya supaya mengunjungi beberapa orang lelaki dan wanita yang beriman di Mekah serta menyampaikan khabar gembira bahawa kemenangan sudah semakin hampir. Dipesannya juga supaya mereka diberitahu bahawa Allah akan menzahirkan agama-Nya di Mekah sehingga tidak ada seorang pun yang perlu menyembunyikan agamanya lagi. 

     Bertolaklah Uthman bin ‘Affan sehingga sampai di Baldah dan bertemu orang Quraish di situ. Mereka bertanya: “Ke mana kamu hendak pergi?” Dia menjawab: “Aku diutuskan oleh Rasulullah untuk tujuan ini dan itu”. Mereka berkata: “Kami pun telah mendengar apa yang kamu cakapkan, maka pergilah menjalankan tugasmu”. Aban bin Sa’ad bangun menyambutnya kemudian membawa datang kudanya lalu dibawanya Uthman menunggang kudanya. Dia memberikan perlindungan keselamatan serta membonceng dengan Uthman sehingga sampai ke Mekah. Di Mekah, Uthman menyampaikan pesanan itu kepada para pemimpin Quraish. Setelah selesai menyampaikan pesanan itu, mereka menawarkan kepada Uthman untuk bertawaf di Baitullah, tetapi dia menolak pelawaan tersebut kerana enggan bertawaf selagi Rasulullah belum melakukannya. 

Tersebarnya Berita Pembunuhan Uthman 

     Orang Quraish menahan Uthman di sisi mereka- mungkin kerana mereka hendak berbincang sesama mereka terlebih dahulu menangan situasi yang terdesak ini dan mendapatkan keputusan yang pasti, setelah itu barulah mereka sampaikan jawapannya kepada Uthman. Uthman tertahan di Mekah agak lama, sehingga tersebar berita di kalangan orang-orang Islam bahawa Uthman telah dibunuh. Apabila berita yang tersebar itu sampai ke pendengaran baginda, lantas Rasulullah SAW berkata: “Kita tidak akan tinggalkan tempat ini melainkan setelah kita menentang kaum itu”. Kemudian baginda memanggil para sahanatnya untuk berbai’ah, lalu berebut-rebut mereka datang kepadanya untuk menyatakan bai’ah bahawa mereka tidak akan melarikan diri. Ada satu kumpulan yang berbai’ah untuk sanggup mati. Orang pertama yang berbai’ah ialah Abu Sinan al-Asadi. Salamah bin al-Akwa’ berbai’ah untuk sannup mati sebanyak tiga kali, iatu semasa permulaan.\, di engah-tengah dan di akhir manusia bergilir-gilir untuk berbai’ah. Rasulullah SAW memegang tangannya sendiri sambil berkata: “Ini adalah bai’ah untuk Uthman”. Setelah semuanya selesai berbai;ah, tiba-tiba Uthman pun sampai, lalu dia pun turut sana berbai’ah. Tidak seorang pun yang ketinggalan daripada melakukan bai’ah melainkan seorang munafik yang bernama Jadd bin Qays. 

     Rasulullah SAW mengambil bai’ah ini di bawah sepohon pokok. Umar memagang tangan baginda, sementara Ma’qil bin Yasar memegang sebatang dahan pokok sambil mengangkatnya sebagai tanda bai’ah kepada Rasulullah SAW. Bai’ah ini dikenali sebagai Bai’ah al-Ridwan yang disebutkan oleh Allah dalam firman-Nya:

“Demi sesungguhnya! Allah redha akan orang-orang yang beriman, ketika mereka memberikan pengakuan taat setia kepadamu (wahai Muhammad) di bawah naungan pohon (yang termaklum di Hudaybiyah); maka (dengan itu) ternyata apa yang sedia diketahui-Nya tentang (kebenaran iman dan taat setia) yang ada dalam hati mereka, lalu ia menurunkan semangat tenang tenteram kepada mereka, dan membalas mereka dengan kemenangan yang dekat masa datangnya.” 

(Al-Fath: 18) 

Termeterainya Perjanjian Dan Butir-Butirnya 

     Orang Quraish sudah menyedari akan keadaan yang semakin genting. Lantaran itu, mereka segera mengutuskan Suhayl bin ‘Amru untuk mengadakan perjanjian. Mereka berpesan dengan tegas kepada Suhayl supaya isi kandungan perjanjian itu hendaklah meletakkan syarat bahawa baginda mesti pulang dahulu pada tahun itu agar orang-orang Arab tidak bercakap sesama mereka bahawa baginda berjaya masuk kepada mereka dengan kekerasan. Kemudian datanglah Suhayl bin ‘Amru. Dari jauh, apabila baginda melihat kedatangannya, baginda berkata: “Urusan kamu sudah menjadi mudah, mereka itu hendak berdamai tatkala mengutuskan lelaki ini”. Lalu Suhayl sampai dan bercakap panjang lebar. Kemudiannya, kedua belah pihak bersetuju terhadap beberapa syarat perdamaian seperti berikut: 

- Rasulullah hendaklah pulang pada tahun itu dan tidak boleh masuk ke Mekah. Pada tahun hadapan, orang-orang Islam boleh masuk ke Mekah dan menetap di situ selama tiga hari. Mereka hanya boleh membawa senjata orang berperjalanan sahaja iaitu pedang yang disarungkan, sementara pihak Quraish tidak boleh menghalang mereka dengan apa jua cara sekalipun. 

- Siapa yang suka masuk ke dalam perlindungan dan jaminan Muhammad, maka ia boleh berbuat demikian. Dan siapa yang mahu masuk dalam perlindungan Quraish dan jaminannya, maka ia boleh berbuat demikian. Mana-mana kabilah yang bergabung dengan salah satu pihak ini akan dianggap sebahgian daripada pihak tersebut. Oleh itu, sebarang persengketaan yang ditimbulkan oleh mana-mana kabilah ini dianggap persengketaan terhadap pihak tersebut. 

- Orang Quraish yang dating kepada Muhammad tanpa kebenaran walinya- iaitu melarikan diri kepada Muhammad- hendaklah dikembalikan kepada mereka. Orang yang bersama Muhammad jika dating kepada Quraish- iaitu melarikan diri daripada Muhammad- tidak akan dikembalikan. 

- Genjatan senjata dilaksanakan antara dua pihak selama 10 tahun. Dalam tempoh itu, manusia berada dalam keadaan aman dan hendaklah sebahagian mereka menghalang sebahagian yang lain daripada menimbulkan kekacauan. 


     Kemudian baginda memanggil Ali untuk menulis perjanjian itu. Ali pun menulis di bahagian atas perjanjian dengan kalimat “Bismillahirrahmanirrahim”. Lantas Suhayl berkata: “Demi Allah, kami tidak faham apa yang dimaksudkan dengan “al-Rahman”? Tuliskan sahaja: “Bismikallahumma”. Nabi pun menyuruh Ali menulis seperti yang dipinta. Kemudian Ali menulis: “Inilah perjanjian yang dibuat oleh Muhammad Rasulullah”, lantas Suhayl berkata: “Kalau kami yakin bahawa kamu adalah Muhammad, tentulah kami tidak menghalang kamu datang ke Baitullah dan kami tidak memerangi kamu. Tulislah Muhammad bin Abdullah dan memadam perkataan Rasulullah. Tetapi Ali enggan memadam perkataan itu, lantas Nabi Muhammad SAW sendiri yang memadam dengan tangannya. Setelah itu, ditulislah butir-butirnya sehingga selesai penulisan perjanjian itu. Setelah perjanjian itu selesai, Bani Khuza’ah bersetuju untuk berada di bawah jaminan dan perlindungan Rasulullah kerana mereka adalah sekutu Bani Hashim sejak zaman ‘Abd Muttalib. Justeru, masuknya mereka dalam perjanjian ini adalah sebagai menegaskan lagi hubungan sekutu silam. Sementara itu, Bani Bakar bersetuju untuk berada di bawah jaminan dan perlindungan Quraish. 

Pengembalian Abu Jandal 

     Sebelum itu, ketika surat perjanjian sedang ditulis, tiba-tiba Abu Jandal bin Suhayl datang berjalan perlahan-lahan dalam keadaan yang terikat. Dia keluar dari Mekah sehingga merebahkan badannya di hadapan orang-oranng Islam. Kemudian Suhayl (bapanya) berkata: “Inilah orang pertama yang aku tuntut supaya kamu kembalikan kepadaku”. Lalu Nabi SAW menjawab: “Kita belum habis lagi menulis perjanjian ini”. Jawab Suhayl: “ Kalau begitu aku tidak akan membuat perjanjian denganmu selama-lamanya”. Nabi SAW memujuknya: “Serahkanlah dia kepadaku”. Suhayl menjawab. “Aku tidak akan serahkan kepadamu”. “Bolehlah, serahkan saja”. Desak Nabi lagi. :Aki tidak akan serahkan”. Jawabnya. Sebelum itu Suhayl telah menempelang Abu Jundal dan mencekak anak tengkuk bajunya sambil menariknya untuk dibawa kembali kepada orang-orang Quraish. Abu Jandal berteriak dengan nada yang tinggi: “Hai sekalian orang Islam, apakah aku akan dikembalikan kepada orang-orang Musyrikin supaya mereka dapat mendatangkan fitnah terhadap agamaku?” Lantas Rasulullah SAW menjawab: “Hai Abu Jandal, bersabarlah, sesungguhnya Allah akan menjadikan untukmu dan orang-orang yang lemah jalan keluar dan kelepasan. Kami telah pun memeteraikan perjanjian dengan mereka dan kami telah bersetuju syarat-syaratnya dan mereka juga telah bersetuju memberikan perjanjian Allah kepada kami. Kerana itu, kami tidak boleh berkhianat dengan perjanjian ini”. 

     Umar bin al-Khattab melompat ke arah Abu Jandal, kemudian berjalan beriringan dengannya sambil berkata: “Sabarlah, hai Abu Jandal, mereka itu orang-orang Musyrikin, darah mereka tidak ubah seperti darah anjing”. Kemudian didekatkan pedangnya kepada Abu Jandal. Umar menceritakan: “Aku berharap dengan cara itu Abu Jandal akan mengambil pedangku lalu memukul bapanya”. Tetapi Abu Jandal tidak melarikan diri dan mengikut bapanya, sehingga terlaksanalah perjanjian itu. 

Menyembelih Dan Bercukur Untuk Menamatkan Ihram 

     Setelah Rasulullah SAW selesai mengadakan perjanjian itu, baginda berkata: “Bangunlah kamu semua dan sembelihlah korban”. Namun, tidak seorangpun dalam kalangan mereka yang berbuat demikian, sehingga baginda mengucapkannya sebanyak tiga kali. Oleh kerana tidak ada seorang pun yang bangun, baginda bangun dan masuk berjumpa isterinya, Ummu Salamah. Diceritakan kepada isterinya reaksi manusia terhadap perintahnya. Ummu Salamah berkata: “Wahai Rasulullah SAW, sukakah ksmu membiarkan perkara itu terjadi? Keluarlah kamu dan jangan bercakap dengan sesiapa melainkan setelah kamu menyembelih untamu, kemudian panggillah tukang cukurmu untuk mencukur rambutmu”. Nabi pun keluar tidak bercakap dengan sesiapa, sehingga disembelihnya unta dan dipanggilnya tukang cukur untuk mencukur rambutnya. Apabila orang lain lemihat tindakan baginda, lantas mereka pun bangun dan menyembelih. Sebahagian mereka mencukur sebahagian yang lain, sehingga hampir-hampir mereka bergaduh kerana terjadi kekeliruan. Mereka menyembelih seekor unta atau lembu untuk tujuh orang. Rasulullah SAW menyembelih seekor unta yang dahulunya adalah kepunyaan Abu Jahal. Di hidung unta terdapat sebutir emas. Tujuannya supaya orang-orang Musyrikin akan marah. Rasulullah SAW berdoa untuk orang yang bercukur sebanyak tiga kali, dan untuk orang yang memotong rambut sebanyak sekali. Dalam perjalanan inilah Allah menurunkan wahyu-Nya yang menyentuh tentang bayaran fidyah bagi orang yang tidak dapat mencukur kepalanya akibat sakit iaitu dengan berpuasa atau bersedekah atau menyembelih dam, sepertimana yang terjadi kepada Ka’ab bin ‘Ujrah. 

Keengganan Mengembalikan Wanita-Wanita Muhajirin 

     Setelah itu datanglah beberapa orang wanita Mukminah yang mana wali-wali mereka telah meminta mereka supaya dikembalikan kepada mereka mengikut perjanjian yang telah dipersetujui di Hudaybiyyah, tetapi baginda menolak tuntutan mereka. Alasannya ialah kerana perkataan yang tertulis dalam perjanjian itu berkaitan perkara ini ialah: “Dengan syarat janganlah ada seorang lelaki pun dari kalangan kami yang datang kepadamu sekalipun dia mengikut agamamu melainkan kamu hendaklah mengembalikannya kepada kami”. Butiran ini ternyata tidak termasuk golongan wanita sama sekali. Kemudian Allah menurunkan firman-Nya: 

“Wahai orang-orang yang beriman! Apabila orang-orang perempuan yang mengaku beriman datang berhijrah kepada kamu, maka ujilah (iman) mereka Allah lebih mengetahui akan iman mereka dengan yang demikian, sekiranya kamu mengetahui bahawa mereka beriman, maka janganlah kamu mengembalikan mereka kepada orang-orang yang kafir. Mereka tidak halal bagi orang-orang kafir itu (sebagai isteri), dan orang-orang kafir itu pula tidak halal bagi mereka (sebagai suami). Dan berilah kepada suami-suami (yang kafir) itu apa yang mereka telah belanjakan. Dan tidaklah menjadi salah kamu berkahwin dengan mereka (perempuan-perempuan yang berhijrah itu) apabila kamu memberi kepada mereka maskahwinnya. Dan janganlah kamu (wahai orang-orang Islam) tetap berpegang kepada `aqad perkahwinan kamu dengan perempuan-perempuan yang (kekal dalam keadaan) kafir, dan minta lah balik maskahwin yang kamu telah berikan, dan biarkanlah mereka (suami-suami yang kafir itu) meminta balik apa yang mereka telah belanjakan. Demikianlah hukum Allah Ia hukumkan di antara kamu (dengan adil). Dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana. 

     Kemudian Rasulullah SAW menguji wanita itu berdasarkan suruhan Allah melalui firman-Nya: 

“Wahai Nabi! Apabila orang-orang perempuan yang beriman datang kepadamu untuk memberi pengakuan taat setia, bahawa mereka tidak akan melakukan syirik kepada Allah dengan sesuatu pun, dan mereka tidak akan mencuri, dan mereka tidak akan berzina, dan mereka tidak akan membunuh anak-anaknya, dan mereka tidak akan melakukan sesuatu perkara dusta yang mereka ada-adakan dari kemahuan hati mereka, dan mereka tidak akan menderhaka kepadamu dalam sesuatu perkara yang baik, - maka terimalah pengakuan taat setia mereka dan pohonkanlah kepada Allah mengampuni dosa mereka; sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani”. 

(Al-Mumtahanah: 12) 

Justeru mana-mana wanita Mukminah yang bersetuju dengan syarat ini, maka baginda akan berkata kepadanya: “Aku terima bai’ahmu”. Kemudian baginda tidak memulangkan mereka kepada orang-orang Quraish. 

     Maka, dengan turunnya hukum yang diputuskan oleh Allah ini, orang-orang Islam pun menceraikan isteri-isteri mereka yang kafir. Umar bin al-Khattab pada masa itu mempunyai dua orang isteri yang masih syirik, lantas dia pun menceraikannya. Salah seorang isterinya itu kemudian dikahwini oleh Mu’awiyah dan yang satu lagi dikahwini oleh Safwan bin Umayyah. 

Hikmah Di Sebalik Butir-Butir Perjanjian 

     Perjanjian ini ialah genjatan senjata Hudaybiyyah. Sesiapa yang menyelidiki secara mendalam butir-butir perjanjian ini berserta latar belakangnya, tidak akan meragui bahawa ianya adalah satu kemenangan besar kepada orang-orang Islam. Ini kerana orang-orang Quraish sebelum itu tidak mengiktiraf apa-apa sekalipun terhadap orang Islam. Malah mereka bercita-cita menghapuskan umat Islam sehingga ke akar umbinya. Mereka menanti kesempatan terbaik untuk melihat berakhirnya riwayat umat Islam. Mereka menggunakan segala daya upaya dan kekuatannya untuk menghalang dakwah Islam sampai kepada manusia, dengan menggunakan kelayakannya sebagai pemimpin agama dan penguasa hal-hal keduniaan di Semenanjung Tanah Arab. Justeru, dengan kesanggupan mereka mengadakan perjanjian itu bererti mereka mengiktiraf kekuatan umat Islam dan orang-orang Quraish tidak lagi berupaya untuk menentang mereka. Fasal ketiga dalam perjanjian membuktikan bahawa orang-orang Quraish sudah terlupa kedudukan mereka sebagai penguasa hal-hal keduniaan dan kepimpinan agama. Yang mereka fikirkan sekarang ialah diri mereka sahaja, sementara orang lain dan mereka yang berada di Semenanjung Tanah Arab kalau mereka masuk Islam semuanya, maka ia tidak lagi dipedulikan oleh orang-orang Quraish. Mereka tidak akan masuk campur dengan apa jua sekalipun. Bukankah ini bererti satu kegagalan besar kepada orang-orang Quraish? Bukankah ianya satu kemenangan yang nyata kepada orang-orang Islam? Peperangan berdarah yang terjadi antara orang-orang Islam dan seteru-seterunya bukanlah bertujuan- bagi orang Islam- untuk mengaut harta benda, menghapuskan nyawa, membinasakan manusia atau memaksa musuh memeluk Islam. Tetapi objektif tunggalnya adalah untuk mendapatkan kebebasan mutlak bagi manusia memilih akidah dan agamanya. Justeru, sesiapa yang memilih akidah dan agamanya. Justeru, siapa yang mahu dia boleh beriman dan siapa yang mahu dia boleh kafir. Tidak ada mana-mana kekuatan yang boleh menghalang apa yang mereka mahu. Objektif ini berjaya dicapai dengan semua sarana dan keperluannya dan dengan cara yang tidak mungkin dapat diperolehi sepertinya melalui peperangan, di samping itu mereka mendapat pula kemenangan yang nyata. Dengan kebebasan yang diperolehi ini, orang-orang Islam mendapat kejayaan besar untuk berdakwah. Sebelum perjanjian ini, bilangan umat Islam tidak melebihi tiga ribu orang, tetapi dua tahun perjanjian ini bilangan tentera Islam sahaja yang menakluk Mekah ialah seramai sepuluh ribu orang. 

     Fasal kedua dalam perjanjian ini juga merupakan satu lagi faktor umat Islam mendapat kemenangan yang nyata. Ini kerana bukan orang Islam dahulu yang memulakan peperangan, tetapi ia dimulakan oleh orang-orang Quraish, sebagaimana firman Allah yang bermaksud: “Dan merekalah juga yang mula-mula memerangi kamu?” – at-Taubah, 13-.. Tujuan orang-orang Islam mengadakn rondaan ketenteraan tidak lain ialah untuk menyentak dan menyedarkan orang-orang Quraish daripada keburukan dan gangguan mereka dari jalan Allah. Justeru, ia adalah satu tindakan yang sepadan dengan perbuatan mereka. Setiap kumpulan memainkan peranan mengikut seperti yang dilakukab oleh kumpulan lain. Justeru, perjanjian genhatan senjata selama sepuluh tahun dapat menghentikan keburukan dan gangguan ini. Ianya adalah dalil gagalnya orang yang memulakan peperangan serta kelemahan dan kemusnahannya. 

     Fasal pertama perjanjian ini dapat menghentikan halangan Quraish terhadap mereka yang hendak ke Masjidil Haram. Ia juga bererti satu kegagalan kepada orang Quraish. Kalau adapun yang dapat menyenangkan hati Quraish dalam perjanjian ini hanyalah kejayaan mereka menghalang umat Islam masuk ke Mekah pada tahun itu sahaja. 

     Melalui tiga fasal ini, Quraish telah memberikan keuntungan kepada pihak orang Islam, berbanding satu keuntungan sahaja kepada mereka, iaitu yang terdapat pada fasal empat. Tetapi keuntungan itu tidak bererti apa-apa. Kerana tidak ada apa-apa yang dapat memudaratkan orang Islam. Seperti yang diketahui selagi seseorang itu menganut Islam, dia tidak akan lari daripada agama Allah dan Rasul-Nya, serta ridak lari dari kota Islam. Dia tidak akan lari melainkan jika dia telah murtad daripada Islam zahir atau batin. Oleh itu, kalau dia telah murtad, maka orang-orang Islam pun tidak memerlukannya lagi. Terkeluarnya ia dari komuniti Islam lebih baik dari terus kekal di dalamnya. Inilah yang dimaksudkan oleh Rasulullah SAW dengan sabdanya: “Barangsiapa yang pergi kepada mereka dari kalangan kami, maka Allah akan menjauhkannya”. Adapun orang Mekah yang masuk Islam, walaupun tidak mempunyai peluang untuk melarikan diri ke Madinah, akan tetapi bumi Allah luas. Bukankah Habsyah itu luas untuk orang-orang Islam, ketika penduduk Madinah belum mengetahui sedikitpun tentang Islam? Inilah yang dimaksudkan oleh Rasulullah SAW berdasarkan sabdanya: “Barang siapa yang datang kepada kami dari kalangan mereka, maka Allah akan memberikan kelepasan dan jalan keluar kepadanya”. 

     Mengambil langkah sebegini, walaupun pada zahirnya menampakkan pihak Quraish memperolehi keuntungan, tetapi pada hakikatnya ia menggambarkan tentang kegelisahan Quraish yang amat sangat serte kekecewaan mereka. Ia juga menggambarkan ketakutan terhadap suasana keberhalaan mereka. Bagaikan mereka telah pun merasai bahwa tradisi mereka pada hari ini telah pun berada di tepi jurang yang akan runtuh. Oleh yang demikian, mereka telah mengambil langkah ini. Persetujuan Nabi SAW untuk tidak meminta kembali orang-orang Islam yang lari kepada Quraish tidak lain hanya menunjukkan dalil bahawa baginda berpegang teguh untuk mengukuhkan suasana dan kekuatannya dengan keimanan yang betul-betul mantap. Lantaran itu, mereka tidak hirau akan syarat sebegini. 

Orang Islam Berdukacita Dan Soal Jawab Umar Dengan Nabi SAW 

      Inilah sebenarnya hakikat yang tersembunyi di sebalik fasal-fasal perjanjian itu. Namun begitu, di sana terdapat dua fenomena yang menyebabkan keseluruhan orang-orang Islam mengalami dukacita dan kegelisahan. 

     Pertama: Baginda SAW telah memberitahu mereka bahawa mereka akan datang ke Baitullah dan dapat bertawaf. Justeru, mengapa pula baginda pulang tanpa melakukan tawaf? 

     Kedua: Rasulullah SAW berada di pihak yang benar dan Allah akan menzahirkan agama-Nya. Justeru, mengapa baginda menerima desakan Quraish dan menerima kerendahan dalam perjanjian itu? 

     Inilah dua gambaran yang menimbulkan kesangsian dan syak wasangka serta keraguan dalam kalangan mereka. Kerana sebab itulah perasaan orang-orang Islam terluka, sehinggakan setelah selesai perjanjian itu kesedihan mereka lebih menguasai akal fikiran. Boleh jadi yang paling berduka cita ialah Umar bin al-Khattab. Dia datang kepada Nabi seraya berkata: “Wahai Rasulullah, bukankah kita di atas agama yang benar dan mereka dalam kebatilan?” Baginda menjawab: “Memang benar”. Tanyanya lagi: “Bukankah orang kita yang terbunuh berada dalam syurga dan orang mereka berada dalam neraka?” “Memang benar”. Jawab baginda. 

    Tanya lagi: “Justeru mengapa kita serahkan kerendahan dalam agama kita dan kita berpatah balik, sedangkan Allah belum memutuskan keputusan antara kita dan mereka?” Baginda menjawab: “Hai putera al-Khattab, aku ini Rasulullah dan aku tidak akan menderhakai Allah, Dialah pembantuku dan Dia tidak akan mensia-siakan aku sekali-kali”. Umar bertanya lagi: “Bukankah engkau memberitahu kami bahawa kita akan datang ke rumah Allah dan dapat melakukan tawaf?” Baginda menjawab, “Bahkan, tetapi adakah aku memberitahumu bahawa kita akan datang pada tahun ini?” Umar menjawab: “Tidak.” Baginda berkata: “Memang engkau pasti akan datang ke rumah Allah dan dapat melakukan tawaf”. 

     Kemudian Umar beredar sambil menahan marah. Dia pergi kepada Abu Bakar dan berkata seperti yang dikatakannya kepada Rasulullah SAW. Abu Bakar menjawab kepadanya sebagaiman yang dijwab oleh Rasulullah SAW, di samping itu Abu Bakar menambah lagi dengan katanya: “Berpegang teguhlah dengan keputusan baginda sehingga engkau mati. Demi Allah dia berada di atas kebenaran”. Kemudian turunlah firman Allah yang berbunyi:  

“Sesungguhnya Kami telah membuka bagi perjuanganmu (wahai Muhammad) satu jalan kemenangan yang jelas nyata”. 

(Al-Fath: 1) 

     Kemudiannya Rasulullah SAW mwngutuskan seseorang untuk membacakan ayat ini kepada Umar. Setelah mendengarnya, Umar berkata: “Wahai Rasulullah, adakah ini kemenangan?” Baginda menjawab: “Ya”. Barulah Umar berpuas hati dan kembali. 

Setelah itu, Umar berasa menyesal atas keterlanjurannya dengan sesalan yang amat sangat. Umar menceritakan: “Disebabkan perbuatanku itu maka aku telah membuat beberapa amalan. Aku bersedekah, berpuasa, bersolat dan membebaskan hamba seperti yang aku lakukan pada hari ini, kerana bimbang akan kata-kataku itu, sehingga aku mengharapkan agar amalanku ini diterima sebagai satu kebaikan”. 

Terungkainya Kemelut Orang Islam Yang Lemah 

     Setelah Rasulullah SAW kembali ke Madinah dan berada di sana, seorang lelaki Muslim yang diseksa di  Mekah berjaya memboloskan diri. Belaiu ialah Abu Basir, seorang yang berasal dari Bani Thaqif yang menjadi sekutu Quraish. Orang-orang Quraish menghantar dua orang utusan untuk mencarinya. Kedua-dua utusan itu bertemu Nabi SAW dan menuntut dilaksanakan perjanjian antara mereka. Lantas Nabi menyerahkan Abu Basir kepada dua orang lelaki itu. Kemudian mereka berdua keluar membawa Abu Basir sehingga sampai ke Dzul Hulayfah. Di situ mereka singgah untuk makan buah kurma yang mereka bawa. Abu Basir mengambil kesempatan itu dengan bertanya kepada salah seorangnya: “Demi Allah, aku melihat pedangmu ini sungguh cantik hai si fulan”. Lalu seorang lagi menghunuskan pedangnya, lantas berkata: “Memanglah, demi Allah pedang ini memang cantik, aku dah beberapa kali menggunakannya”. Lantas Abu Basir berkata: “Bolehkah aku melihatnya”. Lelaki itu pun menyerahkan pedangnya kepada Abu Basir dan dengan pantas Abu Basir melibaskan pedang itu sehingga lelaki itu mati. Melihatkan kejadian itu, lelaki yang seorang lagi melarikan dirinya ke Madinah. Dari jauh Rasulullah SAW melihat lelaki itu datang seraya berkata: “Kelihatannya orang ini dalam ketakutan”. Setelah lelaki itu sampai kepada Rasulullah SAW dia pun berkata: “Dia telah membunuh temanku, dan aku pula hampir-hampir terbunuh:. Kemudian Abu Basir pun sampai dan berkata: “Wahai Nabi Allah, demi Allah, Allah telah melaksanakan perjanjianmu. Engkau telah pun mengembalikan aku kepada mereka, kemudian Allah menyelamatkan aku daripada mereka”. Rasulullah SAW bersabda: “Celaka ibunya, dia boleh menyalakan api peperangan jikalau ada seorang lagi bersamanya”. Apabila mendengar kata-kata baginda itu, tahulah dia bahawa baginda akan menyerahkannya semuala kepada mereka, lalu dia pun lari keluar sehingga sampai ke tepi pantai dan tinggal di sana. Setelah itu, Abu Jandal pula berjaya melepaskan dirinya daripada cengkaman Quraish lalu keluar bergabung dengan Abu Basir. Akhirnya setiap kali ada orang Quraish yang masuk Islam yang terlepas keluar, maka mereka akan menuju ke tempat Abu Basir dan bergabung dengannya sehingga mereka berjaya membentuk satu pasukan. Setiap kali mereka mendengar ada rombongan dagang Quraish yang menuju ke Syam, maka mereka akan menghalangnya, membunuh dan merampas harta benda mereka. Lantaran itu, orang-orang Quraish menghantar surat kepada Nabi SAW meminta dengan penuh harapan bahawa barang siapa yang datang kepada Muhammad, maka ia selamat. Justeru, Nabi Muhammad SAW mengutuskan utusan kepada kumpulan Abu Basir. Akhirnya mereka pun berjaya datang ke Madinah. 

Jaguh-Jaguh Quraish Masuk Islam 

     Pada awal tahun 7 Hijrah selepas genjatan senjata ini, ‘Amru bin al-‘As, Khalid bin al-Walid dan Uthman bin Talhah memeluk Islam. Tatkala mereka datang kepada Nabi SAW, baginda bersabda: “Sesungguhnya Mekah telah mencampakkan kepada kita kepingan jantung hatinya”.
|
This entry was posted on 03:42 and is filed under . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0 feed. You can leave a response, or trackback from your own site.

0 comments: